Rabu, 26 Januari 2011

Bayi Baru Lahir Ditemui Mati Ditikam

Bayi Baru Lahir Ditemui Mati Ditikam
KLANG: Seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan ditemui mati ditikam, dipercayai oleh ibunya di sebuah rumah sewa di Batu 4, Kampung Jawa di sini, Selasa.
Mayat bayi yang berlumuran darah akibat ditikam beberapa kali itu ditemui di atas pelapik plastik dalam bilik air rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Supritendan Zahedi Ayob berkata, wanita Myanmar yang mempunyai kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) dipercayai melahirkan bayi itu kira-kira pukul 9 pagi tadi.
"Wanita berusia 23 tahun itu dikatakan melahirkan anaknya bersendirian dan menyembunyikan diri dalam rumah sewanya.
"Polis mendapat panggilan pada pukul 12.45 tengah hari daripada orang awam yang mengesyaki sesuatu berlaku di rumah suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata wanita itu ditemui dalam keadaan lemah dalam rumah itu dan polis turut menemui sejenis objek tajam yang dipercayai diguna dalam kejadian itu.
Mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini untuk bedah siasat manakala wanita terbabit yang ditahan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi membantu siasatan kes itu, juga dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.
Sementara itu jiran wanita terbabit, Mohamad Salim Nur Syuri, 35, berkata semalam beliau melihat wanita itu masih mengandung.
"Semalam saya lihat perut besar, hari ini sudah kempis dan pagi tadi saya nampak bahagian belakang dia penuh dengan darah," katanya. - BERNAMA

Sumber : Mstar online jenayah

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Edisi Metro Online


Tikam bayi baru lahir

Oleh Abdullah Wahab

SHAH ALAM: Kejam apabila seorang ibu muda tergamak menikam bertubi-tubi bayi perempuan yang baru dilahirkannya sebelum mayat bayi malang itu ditemui dalam tandas di rumah panjang, Batu 4 1/2, Kampung Jawa di sini, semalam.
Mayat bayi cukup sifat itu ditemui kira-kira jam 12.45 tengah hari oleh sepasukan polis sejurus menerima panggilan kecemasan daripada jiran yang curiga dengan tindakan wanita itu berkurung seorang diri dalam rumah.
Hasil siasatan polis mendapati, suspek berusia 23 tahun yang juga pemegang kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Orang Pelarian (UNHCR) dari Myanmar melahirkan bayi itu kira-kira jam 9 pagi sebelum membunuhnya dipercayai dengan menikam berulang kali menggunakan sebilah pisau.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, ketika polis tiba di rumah itu, bayi berkenaan sudah meninggal dunia, ditemui terbaring atas plastik dengan kesan tikaman di badan, manakala kawasan itu dipenuhi kesan darah.
Menurutnya, siasatan mendapati, ketika kejadian wanita itu berseorangan di rumah dan rumah sewa berkenaan dihuni tiga orang.

“Turut ditemui di tempat kejadian satu senjata tajam dan ia dirampas untuk siasatan lanjut.

“Wanita itu juga sihat dan dia bersama mayat bayi itu dibawa ke HTAR (Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sepasukan polis dari Unit Forensik turut dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengumpul bukti berhubung pembunuhan itu.

Difahamkan, suami wanita itu meringkuk dalam penjara sejak tiga tahun lalu dan ketika kejadian, ibu wanita terbabit berada di Thailand atas urusan peribadi. Wanita itu turut mempunyai seorang anak berusia tiga setengah tahun.

Sementara itu, adik wanita terbabit, Jumilah Salim, 17, yang tinggal berdekatan mendakwa, ketika kejadian dia sedang menonton televisyen dan tidak sedar apa yang berlaku di rumah kakaknya.

“Rumah saya dan kakak selang satu pintu saja dan saya hanya tahu kejadian itu selepas polis tiba dan orang mula datang serta ketuk pintu rumah kakak.

“Ketika kejadian anaknya bermain di rumah saya,” katanya yang menyewa di situ sejak 10 tahun lalu.

Sementara itu, jiran wanita terbabit, Mohamad Salim Nur Syuri, 35, mendakwa, sempat melihat wanita terbabit dan ketika itu kain dipakainya dipenuhi darah.

“Bimbang sesuatu yang buruk berlaku, kawan saya menghubungi polis,” katanya yang bekerja sebagai pencari besi buruk.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membunuh.

Sumber : http://www.hmetro.com.my/articles/Tikambayibarulahir/Article

Tiada ulasan:

Catat Ulasan