Selasa Februari 8, 2011
Oleh SITI AZIRA ABD AZIZ
Heliza memperagakan 'modest' berkonsepkan pakaian tradisional Korea dan tudung yang digayakan dengan reben. - Foto koleksi HELIZA
KUALA LUMPUR: Selepas menubuhkan syarikat sendiri iaitu Heliza Helmi Production Sdn Bhd (HHP), penyanyi Heliza Helmi mengorak langkah ke satu cabang perniagaan baru iaitu menjual busana eksklusif seperti modest, jaket berhud dan tudung.
Semuanya bermula apabila pelakon filem Syurga Cinta itu berjumpa dan bergabung idea dengan pereka fesyen Yasalma dengan menghasilkan produk tersebut atas jenama Heliza Helmi by Yasalma.
Biarpun perniagaan yang baru dilakukan sejak beberapa bulan itu belum beroperasi sepenuhnya, namun ia tidak menghalang niat finalis Akademi Fantasia 5 (AF5) itu untuk bercerita tentang produk terbarunya itu.
Menurut graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Sains dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu, dia sedang mencari pembekal produk tersebut dan setakat ini menjalankan perniagaan tersebut menerusi laman web Facebook atau emel.
Heliza menggayakan jaket berhud.
Katanya, pelanggan sudah boleh membuat tempahan dengan melayari Facebook Heliza Helmi atau menghantar emel kepada
helizahelmiyasalma@gmail.com.
“Saya masih baru melakukan perniagaan ini dengan kerjasama Yasalma selaku pereka fesyen. Setakat ini, saya telah mengilhamkan idea busana modest berkonsepkan pakaian tradisional Korea dan jaket berhud.
“Saya suka pakai kardigan. Biasanya kardigan yang terdapat di pasaran agak singkat dan tidak sesuai untuk fesyen muslimah. Jadi, saya minta dia reka pakaian yang nampak sopan dengan konsep kardigan labuh paras lutut.
“Selain dari pakaian, saya juga menjual tudung, reben, skirt panjang dan inner tudung. Setiap produk dijual berasingan bagi memudahkan pelanggan kami gabung padan reben dengan inner tudung atau sebagainya,” ujarnya kepada mStar Online.
Produk tersebut dijual pada harga bermula RM25 hingga RM350. Setiap produk dihasilkan secara eksklusif dan terhad.
“Saya merasakan setiap produk itu dijual pada harga berpatutan kerana kuantitinya yang terhad dan dijual secara eksklusif. Kami akan memperkenalkan lebih banyak rekaan terbaru lagi dari semasa ke semasa. Insya Allah,” katanya yang turut tampil dengan single Cuma Aku, Kau Selamanya dan Chord G.
Selepas ini dia merancang untuk menghasilkan lagu berkonsepkan ketuhanan.
Selain itu, dia bersedia menerima tawaran berlakon di sekitar Kuala Lumpur dan dalam Semenanjung Malaysia.
Nota kaki : Bagus Heliza ni, otak bisnes. Walaupun tak tahu sangat lagu apa yang dia nyanyi tapi suka dengan penampilan dia yang menutup aurat serta sopan. Setakat ni dia bersih dari gossip murahan, pandai budak Heliza ni bawa diri dan jaga maruahnya sebagai wanita Islam.
Hmm...saper nak beli bolehlah email dia...hehe...nampak cantik busana tu...berkenanlah pulak....
Tiada ulasan:
Catat Ulasan