shamsulmunir@hmetro.com.my
DI SINI...Ashaari menunjukkan lubang tempat mayat bayi terbabit ditemui.
KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri ditahan selepas cuba menanam anak kelima yang meninggal dunia selepas 10 hari dilahirkan di dalam lubang di belakang rumah mereka di kawasan setinggan di Jinjang Utara, di sini, tengah hari semalam.
Kejadian kira-kira jam 1.45 tengah hari itu disedari seorang jiran pasangan terbabit selepas bapa bayi berkenaan datang meminjam cangkul dengan alasan untuk menanam uri bayinya yang baru dilahirkan.
Jiran pasangan itu, Mohd Ashaari Ulong, 56, berkata dia mengesyaki sesuatu dengan tindakan jirannya itu kerana tiba-tiba ingin meminjam cangkul dan menanam uri sedangkan bayinya lahir sejak 10 hari lalu.
“Pada masa sama, dia tidak pernah mendengar tangisan bayi dari rumah jirannya itu walaupun tahu isteri jirannya sudah melahirkan anak,” katanya ketika ditemui, semalam.
Katanya, berikutan rasa was-was itu, dia enggan meminjamkan cangkul.
“Saya meminta anak buah saya meninjau kawasan rumah lelaki itu sebelum dimaklumkan ada kesan timbusan tanah di belakang rumah terbabit.
“Mungkin ada sesuatu ditanam, saya menghubungi polis memaklumkan kejadian itu sebelum sepasukan polis tiba untuk membuat siasatan. Saya terkejut apabila polis menemui mayat bayi lelaki ditanam dalam lubang berkenaan,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber, bayi lelaki itu ditemui dalam lubang yang baru digali di belakang rumah suspek yang juga ibu bapa bayi berkenaan.
Katanya, mayat bayi itu dihantar ke Bilik Mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.
Berikutan itu, pasangan terbabit berusia 40-an yang ada kaitan dengan kejadian itu ditahan untuk siasatan lanjut.
Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad yang dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Setakat ini, polis sudah menahan sepasang suami isteri bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber : Metro online berita
Tiada ulasan:
Catat Ulasan