Isnin, 31 Januari 2011

Sudut Agama: IBADAT UMRAH

PENGENALAN IBADAT UMRAH

1.1 Definisi
Umrah ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Makkah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadat-ibadat tertentu menurut syarat-syaratnya.

1.2 Hukum Dalil Wajib Umrah
Ibadat umrah merupakan salah satu kewajipan yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim yang mukallaf. Hukumnya wajib sekali seumur hidup apabila memenuhi syarat-sayaratnya:-
Al-Baqarah : ayat 196
Maksudnya : "Dan sempurnakan Ibadah Haji dan Umrah kerana Allah".

Kelebihan Menunaikan Umrah
Orang yang mengerjakan ibadat umrah akan memperolehi pelbagai kelebihan dan ganjaran daripada Allah. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah mengerjakannya dengan ikhlas kerana Allah. Antara kelebihannya adalah seperti berikut ;

i) Mendapat Ganjaran Pengampunan Dosa
Orang yang menunaikan ibadat umrah dengan sempurna akan mendapat pengampunan dosa.
Sabda Rasulullah S.A.W, yg maksudnya ;
"Di antara satu umrah kepada satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tidak ada balasan bagi haji yang mabrur (diterima) melainkan syurga".
Riwayat al-Bukhairy dan Muslim

Keterangan Hadis :
Orang yang mengerjakan umrah hingga ke satu umrah akan mendapat keampunan dosa, dan haji yang mabrur tiada lain ganjarannya kecuali syurga.

ii) Menjadi Tetamu Agung Kepada Allah
Orang yang mengerjakan umrah di Tanah Suci merupakan tetamu agung kepada Allah dan mendapat kemuliaan daripadaNya.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud ;
"Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu Agung kepada Allah , sekiranya mereka memohon doa kepadaNya nescaya Allah perkenankan doa mereka , sekiranya mereka memohon keampunan-Nya nescaya Allah ampunkan mereka".
Riwayat al-Nasa'iy dan Ibnu Majah

1.3 Adab-adab Sebelum dan Semasa Menunaikan Umrah

Sebelum Berangkat Ke Tanah Suci
i) Niat dengan penuh ikhlas hendak ke Tanah Suci semata-mata untuk mengabdikan diri kepada Allah.
ii) Mempelajari cara-cara pelaksanaan ibadah umrah dengan sempurna.
iii) Perbanyakkan taubat sebelum ke Tanah Suci.
iv) Membersihkan harta daripada perkara yang shubhah dan haram.
v) Meninggalkan segala maksiat dan melalaikan.
vi) Perbanyakkan istighfar dan memohon keredaan Allah.
vii) Memohon maaf dan keredaan semua orang termasuk ibu, bapa, suami, isteri dan sanak saudara.
viii) Berpesan kepada anak-anak dan kaum keluarga agar sentiasa bertakwa kepada Allah.
ix) Menyelesaikan segala hak Allah dan hak manusia yang bertanggungjawab pada dirinya.
x) Memilih kawan yang soleh dan amanah sebagai teman.
xi) Menunaikan solat sunat musafir sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Ketika Berada Di Tanah Suci
i) Menunjukkan akhlak yang mulia.
ii) Menyedari dirinya sedang menjadi tetamu Agung kepada Allah.
iii) Menyedari perjalanan umrah adalah perjalanan ibadah bukannya makan angin.
iv) Bersyukur dan reda dengan apa yang disediakan oleh Amirul Haj (Kerajaan Arab Saudi)
v) Menjauhi percakapan dan perbuatan keji dan sia-sia
vi) Menjauhi sikap sombong dan takbur.
vii) Menjauhi pertengkaran dan sentiasa bertolak ansur.
viii) Perbanyakkan ibadat seperti membaca al Quran, iktikaf, doa, taubat dan istighfar kepada Allah.
x) Hidupkan semangat tolong-menolong dan bekerjasama.

1.4 Syarat Wajib Umrah

1.Islam
Orang kafir tidak wajib menunaikan ibadat umrah

2.Baligh
Kanak-kanak yang belum baligh tidak wajib mengerjakannya. Tetapi sekiranya kanak-kanak tersebut menunaikan umrah maka umrah tersebut adalah sah dan dikira sebagai umrah sunat.

3.Berakal
Orang gila atau tidak waras akalnya tidak wajib menunaikan umrah.

4.Merdeka
Hamba sahaya tidak wajib menunaikan umrah.

5.Istito'ah
Istito'ah bermaksud kemampuan untuk mengerjakan umrah.

Syarat-syarat Istito'ah

A.Pada Diri Sendiri
i) Cukup perbelanjaan dan nafkah pergi dan balik untuk dirinya.
ii) Cukup keperluan nafkah asas bagi orang di bawah tanggungngannya.
iii) Ada kenderaan pergi dan balik.
iv) Aman perjalanan pergi dan balik.
v) Sihat tubuh badan.

B.Dengan Pertolongan Orang Lain ( Umrah Badal)
i) Orang yang sakit dan tiada harapan sembuh.
ii) Orang yang terlalu tua lagi uzur.
iii) Orang yang telah meninggal dunia dan mampu mengerjakan umrah semasa hayatnya.

C.Syarat Tambahan Bagi Wanita
i) Mendapat keizinan suami atau walinya..
ii) Ditemani oleh suami atau mahram atau kumpulan wanita yang thiqat(yang dipercayai)


RUKUN UMRAH

2.1 Definisi
Rukun umrah ialah pekerjaan yang mesti ditunaikan oleh orang yang melaksanakan umrah, jika tidak ditunaikan sama ada sengaja atau tidak maka tidak sah umrahnya. Rukun tersebut ialah :-
1. Niat
2. Tawaf
3. Sa'ie
4. Bercukur atau bergunting.
5. Tertib
2.2 Rukun Umrah

2.2.1 Niat Umrah
Iaitu niat ihram mengerjakan umrah. Setelah berbuat demikian maka diharamkan ke atasnya melakukan semua perkara larangan ihram sehingga terhasil tahallul.

Niat lafaz umrah

" Nawaitul u'mrata wa ahramtu biha lillahi ta'ala "

Maksudnya (niat dalam hati):
"Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta'ala".

Niat Bersyarat
Niat ihram bersyarat adalah diharuskan bagi seseorang yang bimbang berlaku perkara yang menghalang dirinya daripada menyelesaikan pekerjaan umrahnya. Contohnya seperti kedatangan haid, ditimpa penyakit yang kritikal dan sebagainya. Niat ini hendaklah dilakukan secara muwalat (secara berturutan) antara niat ihramnya dengan niat bersyarat.

Lafaz Niat Bersyarat :


Maksudnya (niat dalam hati) :
"Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah Ta'ala, sekiranya aku terhalang oleh sesuatu , ketika itu aku menjadi halal".

Sekiranya jemaah yang melakukan niat bersyarat ini terhalang daripada menyelesaikan pekerjaan umrah maka dengan sendirinya ia menjadi halal iaitu terlepas daripada ihramnya.

Amalan-amalan Sunat Ihram

 Sebelum Niat Ihram
i) Mengerat kuku
ii) Mengandam/merapikan janggut, misai dan rambut.
iii) Menanggalkan bulu-bulu ketiak, ari-ari dan sebagainya.
iv) Mandi sunat ihram.
v) Mengambil wuduk.
vi) Memakai wangi-wangian pada badan.
vii) Memakai minyak rambut.
viii) Memakai kain ihram berwarna putih.
ix) Mendirikan solat sunat ihram.

Semasa Niat Ihram
i) Mengadap ke arah kiblat
ii) Berada dalam keadaan berwuduk.

Setelah Berniat Ihram
i) Bertalbiah
ii) Berdoa dan berzikir

2.2.2 Tawaf Umrah
Bermaksud mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh (7) pusingan bermula dari sudut Hajarul Aswad dan berakhir pada sudut yang sama menurut syarat-syaratnya.

Syarat Sah Tawaf
i) Menutup aurat.
ii) Suci daripada hadas besar dan kecil.
iii) Suci badan, pakaian dan tempat tawaf daripada najis.
iv) Bermula dan berakhir di sudut Hajarul Aswad.
v) Menjadikan Kaabah di sebelah kiri dan berjalan ke hadapan.
vi) Dilakukan dalam Masjidil Haram dan di luar binaan Kaabah, Hijr dan Syazarwan.
vii) Mengekalkan niat tawaf.
viii) Cukup tujuh (7) pusingan dengan yakin.

Amalan Sunat Tawaf
i) Berjalan kaki.
ii) Beridtiba' (memakai ihram dalam keadaan bahu kanan dinampakkan) bagi tawaf yang diikuti oleh sa'ie, hanya sunat bagi lelaki sahaja.
iii) Mengucup Hajarul Aswad pada permulaan tawaf.
iv) Istilam Hajarul Aswad dan kemudian mengucup tapak tangan atau isyarat dengan tapak tangan ke arahnya sambil bertakbir lalu mengucup tapak tangan tersebut pada setiap permulaan tawaf.
v) Istilam Rukun Yamani dan tidak mengucup rukun tersebut.
vi) Melakukan ramal (berlari-lari anak) pada tiga (3) pusingan , bagi lelaki sahaja.
vii) Mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh (7) pusingan secara muwalat.
viii) Melakukan tawaf dengan tawaduk dan khusyuk.
ix) Mendirikan solat sunat tawaf dua rakaat, setelah selesai melakukan tawaf, yang afdalnya di belakang Maqam Ibrahim S.A.W. Sekiranya tidak berkemampuan boleh dilaksanakan divdalam Hijr Ismail atau mana-mana tempat di Masjidil Haram.
x) Berdoa, bezikir dan membaca al-Quran.

2.2.3 Sa'ie Umrah
Sa'ie bermaksud berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah mengikut syarat-syaratnya.

Syarat Sah Sa'ie
i) Dilakukan setelah sempurna tawaf.
ii) Bermula dari Bukit Safa dan berakhirdi Bukit Marwah.
iii) Cukup tujuh (7) kali ulang alik denganyakin. Dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dikira sekali dan dari Bukit Marwah ke Bukit Safa dikira sekali.
iv) Hendaklah sampai ke penghujung tempat sa'ie di kaki Bukit Marwah dan kaki Bukit Safa pada setiap pusingan sa'ie
v) Hendaklah melakukan sa'ie di tempat yang telah ditetapkan.
vi) Mengekalkan niat sa'ie.

Amalan Sunat Sa'ie
i) Dalam keadaan berwuduk.
ii) Dilaksanakan sejurus selepas mengerjakan tawaf.
iii) Keluar ke tempat sa'ie melalui pintu Safa (Bab al-Safa).
iv) Menaiki Bukit Safa dan Bukit Marwah bagi lelaki sahaja.
v) Mengadap ke arah Kaabah sambil bertakbir (dengan melafazkan takbir tiga kali), bertahlil dan berdoa semasa berada di Bukit Safa dan Bukit Marwah.
vi) Muwalat.
viii) Beridtiba' pada semua pusingan.
ix) Berjalan kaki.
x) Mengelak kesesakan di tempat sa'ie. Jika berlaku kesesakan elakkan daripada menyakiti orang lain.
xi) Berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.

2.2.4 Bercukur Atau Bergunting
Bermaksud menanggalkan sekurang-kurangnya tiga helai rambut setelah sempurna melakukan tawaf dan sa'ie.

Amalan Sunat Bercukur Atau Bergunting
i) Bagi lelaki , afdal bercukur seluruh kepala.
ii) Bagi wanita, disunatkan bergunting rambut sepanjang seruas jari dari mana-mana sudut kepala.
iii) Bagi yang tidak mempunyai sebarang rambut ( botak licin ) sama ada semula jadi atau baru dicukur adalah sunat melalukan mata pisau cukur di atas kepala.
iv) Mulakan cukuran atau guntingan di bahagian kanan, kemudian di bahagian kiri dengan mengadap ke arah kiblat, diiringi dengan bacaan doa semasa bercukur atau bergunting sambil memegang rambut di kepala.

2.2.5 Tertib
Bermaksud mengerjakan rukun umrah mengikut susunannya satu demi satu bermula dengan niat kemudian diikuti dengan tawaf, sa'ie dan bercukur atau bergunting. Dengan ini selesailah pekerjaan ibadat umrah.Kemudian bolehlah menanggalkan pakaian ihram dan kembali kepada keadaan biasa , iaitu bebas dari segala larangan semasa ihram.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan